'Ysuku' Kini Dalam Pemerhatian Polis

Motosikal jenis Yamaha Y15ZR atau ‘Ysuku’ kini dalam pemerhatian polis berikutan trend golongan belia kini yang gemar mengubah suai motor itu tanpa mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

'Ysuku' Kini Dalam Pemerhatian Polis

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/ Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menyita motosikal terbabit jika didapati ia melanggar undang-undang jalan raya.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu secara tak langsung membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Sebagai contoh, jika ‘Ysuku’ itu dijual dengan spesifikasi kelajuan 110 kilometer sejam (km/j), jangan ubah enjin untuk menunggangnya sehingga kelajuan lebih 140 km/j, ia melanggar undang-undang jalan raya.


“Polis juga bimbang motosikal itu tidak dapat menampung kelajuan baharu itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan maut.

“Dalam hal ini, penunggang bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna kenderaan lain.

“Kita akan pantau kes pengubahsuaian ini, polis dan JPJ akan mengadakan operasi sekatan jalan dari semasa ke semasa untuk mengesan kesalahan pengguna motosikal terbabit,” katanya pada sidang media Op Khas Kenderaan Perdagangan, di Plaza Tol Duta, di sini, malam tadi.


Mengulas operasi khas itu, Mohd Nadzri berkata sebanyak 1,384 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan dalam operasi selama enam hari berakhir malam tadi.

“Dalam tempoh sama, seramai 18 pemandu kenderaan perdagangan (bas dan lori) berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan kerana positif dadah.

“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap isu berkenaan, kita akan ambil tindakan tegas supaya kes itu tidak berulang,” katanya.

Sumber : BH 

Related Posts

Load comments

Comments